Aizat Luffi: Nilai sebuah pendidikan di Malaysia

Aizat Luffi profile photo

Dilahirkan dalam sebuah keluarga yang berpendapatan rendah bukanlah sesuatu perkara yang buruk, malah ia mengajar saya untuk melihat dunia dengan rasa rendah diri serta mensyukuri segala nikmat dan kurniaan yang telah diberikan kepada saya. Salah satu kurniaan tersebut adalah pendidikan.

Sebagai seorang anak pengawal keselamatan dan penjual nasi lemak, saya membesar melihat ibu bapa saya membanting tulang dan meluangkan sebahagian besar masa mereka mencari rezeki buat kami sekeluarga. Kadang kala mereka jarang berada di rumah kerana melakukan dua kerja dalam bentuk ‘shift’ untuk menampung perbelanjaan rumah dan membesarkan kami tiga orang beradik yang memerlukan pendidikan yang baik demi masa depan yang lebih cerah. Ada suatu ketika dimana ibu saya pernah bekerja sebagai seorang pencuci pejabat dengan gaji kurang RM300 sebulan.

Ibu saya selalu berpesan, “Mak dan abah tak pandai, tapi anak anak mak kena pandai. Kalau tak ada duit, mak cari duit”. Ibu saya selalu menegaskan bahawa pendidikan adalah kunci untuk keluar dari jurang kemiskinan. Melihat perit jerih ibu bapa saya dalam usaha untuk membesarkan anak-anak, terdetik dalam hati bahawa saya tidak mahu melihat mereka berterusan hidup dalam kesusahan sehingga hari tua mereka.

Aizat Luffi classroom 1

Saya merupakan anak bongsu dan semasa kecil, saya melihat abang saya mendapat tawaran ke sekolah berasrama penuh dan layak mendapat bantuan biasiswa pendidikan. Saya berpendapat bahawa perkara ini dapat membantu meringankan beban ibu bapa saya lalu saya menanam tekad untuk belajar bersungguh-sungguh supaya saya juga mendapat tempat di sekolah asrama yang berprestij dan dapat membanggakan kedua ibu bapa saya. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, perjalanan saya untuk belajar dipermudahkan dan saya berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang dalam setiap peperiksaan awam. Saya juga dapat melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan yang saya inginkan dalam bidang pilihan saya dengan bantuan biasiswa pendidikan.

Tidak saya sangka bahawa melalui medium pendidikan saya telah memperoleh lebih banyak dari apa yang saya jangkakan. Sebagai contoh, saya memiliki guru-guru yang hebat sepanjang di sekolah dan universiti. Boleh dikatakan bahawa seorang guru baharu bernama Aizat Luffi hari ini, adalah hasil dan berkat daripada tunjuk ajar guru-guru berkenaan.

Tambahan lagi, pendidikan telah membuka peluang untuk saya meneroka bidang sains yang amat saya minati sejak kecil. Saya juga memperoleh kemahiran insaniah dan bertemu dengan individu-individu hebat yang sama-sama berkongsi aspirasi dalam bidang kerjaya masing-masing. Pendidikan telah membuka peluang kepada anak seorang peniaga nasi lemak seperti saya untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan rakan-rakan lain yang keluarganya mempunyai latar belakang lebih hebat dari saya.

Aizat Luffi classroom 2
Semasa kecil, saya sering mempersoalkan pelbagai perkara dan berasa kurang yakin atas kemampuan diri sendiri dek kerana kekurangan keluarga saya dari segi ekonomi. Namun, sistem pendidikan negara kita telah memberi kesempatan untuk saya mengubah diri, menyerlahkan potensi, dan memberi ruang untuk saya berusaha mencapai impian yang saya hajati.

Saya bertuah kerana telah dikurniakan pendidikan yang baik, dan diberi peluang untuk mengubah nasib keluarga dan masa depan saya. Hanya pendidikan yang mempunyai magika sedemikian dalam mengubah kehidupan seseorang. Menyedari hakikat ini, saya ingin anak-anak Malaysia yang lain untuk mempunyai peluang yang sama atau lebih baik daripada saya dalam aspek pendidikan. Sebagaimana kehidupan saya telah berubah disebabkan oleh pendidikan, saya juga mahu anak-anak murid saya juga percaya bahawa pendidikan ialah jalan keluar buat mereka bukan sahaja dari belenggu kemiskinan, malah jalan untuk bebas dari belenggu pemikiran dan akan meningkatkan keyakinan diri mereka.

Bagi saya, semua pelajar di Malaysia berhak untuk mendapat pendidikan yang berkualiti dan terbaik. Sebagai seorang guru Teach For Malaysia, saya berhasrat untuk menyampaikan mesej bahawa seseorang pelajar itu tidak terikat dengan permulaan mereka, latar belakang mereka tetapi yang menentukan masa depan itu adalah atas usaha mereka dan pendidikan ialah jalannya.

Aizat merupakan seorang graduan Bioteknologi dari Universiti Putra Malaysia (UPM). Aizat kini sedang mengajar di sebuah sekolah berkeperluan tinggi di Klang, Selangor. Untuk pengetahuan lanjut, sila layari teachformalaysia.org

*

Memberi sumbangan

Mendaftar untuk program Felo

 

Facebook Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *